Jersi baharu sahaja dilancarkan semalam di Dataran Bandaraya Johor Bahru dengan dihadiri oleh lebih seribu penyokong kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). Pelancaran itu disiarkan secara live melalui laman rasmi JDT, Johor Southern Tigers. Ia juga turut dipancarkan secara live streaming ke lokasi terpilih daripada 10 lokasi semua daerah negeri Johor.

JDT terus menerima kepercayaan penaja Nike Malaysia setelah syarikat gergasi sukan antarabangsa itu menaja juara Liga Super lima tahun berturut-turut dengan nilai tajaan RM1.3 juta. 





“Tajaan jersi dan kelengkapan barangan sukan Nike pada tahun ini agak istimewa terutama reka bentuk jersi lebih dinamik dan berkualiti.” kata Ernest Rodrigues, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand.

Ernest menambah, "Kami bangga untuk terus menaja JDT dan seperti kita tahu pasukan ini bukan sahaja akan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) malah akan membuat penampilan pertama pada aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Nike turut mengeluarkan jersi yang akan digunakan di tempat lawan berwarna ungu dan ia cukup istimewa kerana diilhamkan daripada kenderaan jenis Ferrari LaFerrari milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

Tambah Ernest lagi, reka bentuk jersi JDT direka mengikut potongan badan pemain selain memberi keselesaan di bahagian bahu. Malah jersi itu lebih ringan dan mengikut falsafah JDT iaitu bergerak ke hadapan. 


Semua skuad Harimau Selatan, termasuklah JDT II, skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pemain Akademi JDT turut menggunakan jersi tersebut. Harga jersi keluaran pemain (player issue) adalah RM549.00 manakala replika untuk penyokong (fan issue) bernilai RM185.00


Presiden JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkenan melancarkan jersi baharu tersebut dan bersama Tunku adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat JDT, Kapten Fahmy Yahya.

Ferrari LaFerrari 

Ferrari LaFerrari ini diperbuat sepenuhnya dari fiber karbon, berkuasa 949 HP dan menggunakan sistem Hybrid, teknologi baru dari Ferrari. 

‘LaFerrari’ ini dianggarkan berharga sekitar USD1.4 juta (RM6.16 juta). Ferrari model ini beberapa kali dipandu sendiri oleh TMJ ke Stadium Larkin.